Thursday, June 8, 2017

Cara Sediakan Bubur Bayi Paling Senang & Cepat Dengan Dua Stok Makanan Wajib Ada 3



Walaupun menyediakan makanan bayi sangat mudah dan cepat tetapi masih ramai ibu yang enggan masak sendiri sebaliknya memilih bijirin segera sebagai makanan untuk bayi mereka.

Kalau anda seorang ibu yang sangat sibuk, tugas memasak sendiri makanan bayi masih sempat dilakukan. Apa yang penting anda perlu menyediakan bahan asas yang boleh dijadikan stok simpanan sama ada dibekukan atau secara kering.

Oleh kerana kebanyakan ibu gemar memberi bayi mereka makan bubur nasi yang dikisar maka eloklah kiranya anda menyediakan sendiri stok kiub ayam/serbuk ayam dan stok serbuk ikan bilis.

Maklumlah bubur bayi tak boleh dicampurkan dengan garam atau sebarang serbuk perasa. Jadi dengan menambah perasa semula jadi daripada kiub ayam (bukan yang segera tau) atau serbuk ikan bilis (homemade) tentu bayi lebih berselera untuk makan.

Apatah lagi kalau tambah dengan campuran sayur-sayuran, mesti bayi makan habis semangkuk! Ayam dan ikan bilis memang terkenal sebagai sumber protein yang penting untuk perkembangan si manja.

Bayi sudah boleh diperkenalkan dengan sumber haiwan apabila mereka berusia 8 bulan dalam kuantiti yang kecil sebelum menambah sedikit demi sedikit apabila mereka tiada alahan.

1. Cara buat kuib ayam & serbuk ayam

Kita memang tak boleh letak kiub ayam segera yang dibeli di kedai tu ke dalam bubur nasi bayi sebab ia mengandungi MSG. Buat sendiri kuib ayam dan serbuk ayam tentulah lebih berkhasiat dan boleh disimpan lama jika dibekukan dan disimpan dalam peti sejuk. Bahkan kuib ayam ini juga bagus sebagai penguat sistem imun badan bayi.

Bahan-bahan:

1 ekor ayam (dengan tulang sekali)

1 sudu besar perahan lemon/limau nipis/cuka

4 cawan air

Halia & sayur-sayuran (optional)

Cara membuat:

* Rebus ayam dengan 4 cawan air.

* Apabila ayam empuk, tos & ambil separuh isi ayam

* Kisar isi ayam menggunakan blender kering.

* Sangai ayam yang telah diblend tadi hingga kekuningan (masih ada isi ayam berketul sbb masih lembap). Tapis isi ayam yang telah kering.

* Baki ayam yang masih berketul diblend & disangai sekali lagi. Nak tapis pun boleh, tak nak tapis pun tak apa sebab ayam dah halus.

* Simpan dlm bekas bertutup. Boleh ditabur dalam bubur nasi bayi.

Sup kuib ayam:

* Teruskan mereneh baki isi ayam & tulang tadi dengan api perlahan. Masukkan 1 sudu besar perahan lemon/limau nipis/cuka serta sayur-sayuran pilihan.

* Tutup tudung periuk & masak sekurang-kurangnya 4 jam (periuk biasa). Tambah air jika perlu.

* Biarkan sejuk. Tapis sup & simpan dalam bekas bentuk kuib.

* Boleh gunakan satu kuib untuk masukkan dalam bubur nasi bayi dan hanya tambah sayur-sayuran sahaja.

Sumber resipi: Yatie Eimra

2. Cara buat serbuk ikan bilis

Ikan bilis terkenal sebagai sumber kaya dengan selenium, kalium, kalsium, protein serta vitamin A, D dan E. Kesemua khasiat tersebut diperlukan oleh tubuh badan bayi untuk membesar dengan sihat dan kuat.

Bahan-bahan:

Ikan bilis yang dikopek (buang kepala dan tahinya) dan dibersihkan.

Cara membuat:

* Rendam dalam air semalaman.

* Toskan ikan bilis.

* Goreng tanpa minyak sampai garing.

* Kisar guna blender kering.

* Ayak ikan bilis. Hanya ambil serbuk yang halus sahaja untuk bayi anda.

* Simpan dalam bekas bertutup kedap udara. Boleh tahan lama kalau disimpan dalam peti ais.

Anda hanya perlu taburkan ke dalam bubur nasi bayi dan boleh dicampur dengan sayur-sayuran kisar.

Lepas sudah berjaya buat dua stok bahan asas makanan untuk bayi, tiada lagi alasan malas atau tak sempat masak sendiri bubur untuk bayi ya


kredit info : Majalah Pa& Ma

No comments:

Post a Comment