Sunday, April 30, 2017

Anak Kerap Berpeluh Mungkin Petunjuk Masalah Kesihatan. Periksa Tahap Peluhnya!



Soalan

Anak saya berumur setahun enam bulan. Kepala anak saya kerap berpeluh sehingga basah rambut dan menyebabkan bau masam. Saya terpaksa syampu rambutnya setiap hari. Apakah ia tidak normal dan apa cara mengatasinya?

Aziey Bairy

Jawapan

Untuk pengetahuan puan, jika anda bimbang tentang bayi yang sentiasa berpeluh ia adalah proses normal tumbesaran seorang bayi. Ia akan berakhir sehingga dia berusia empat tahun.

Berpeluh di kepala, terutamanya semasa tidur adalah perkara biasa di kalangan kanak-kanak. Berpeluh di tapak tangan dan tapak kaki juga perkara biasa semasa berada dalam keadaan tertekan atau dalam persekitaran yang tertutup dan panas.

Berpeluh di ketiak biasanya disebabkan oleh persekitaran panas dan perasaan bimbang. Jika anda perasan bayi kadang kala akan menjadi berpeluh, bertenang dan tukar pakaiannya jika perlu. Elakkan bayi terlalu panas dan memakaikannya pakaian terlalu tebal ketika tidur.

Peluh berlebihan di kalangan sesetengah kanak-kanak boleh menjadi tanda sesuatu yang lebih serius. Jika anak anda berpeluh secara berlebihan semasa aktiviti biasa seperti penyusuan, hubungi doktor pediatrik anda tentang hal tersebut.

Ia mungkin menjadi tanda masalah jantung kongenital, terutama sekiranya warna kulitnya kelihatan agak gelap semasa menangis atau menyusu, dan sekiranya dia kurang meningkat berat badan.

Bayi yang mempunyai penyakit jantung sentiasa berpeluh kerana jantung mereka perlu bekerja keras untuk mengepam darah dengan baik. Berpeluh berlebihan juga mungkin disebabkan oleh gangguan dalam sistem saraf, masalah pernafasan, kelenjar tiroid terlalu aktif atau gangguan genetik. Walaupun keadaan ini bukan normal, jika anda bimbang sebaiknya berundinglah dengan doktor bayi anak anda.

Soalan berikut dijawab oleh Dr Shariza Lukman, Pakar Perunding Pediatrik (BSC MEDICAL SCIENCE (SCOTLAND), MBCHB (UK), MRCPCH (UK), MSC CHILD HEALTH (UK), Pantai Hospital Klang.


kredit : Majalah Pa&Ma

No comments:

Post a Comment